KUALA LUMPUR: Pasukan TKKR Racing 'keluar daripada kotak kebiasaan' apabila melangkah ke peringkat antarabangsa dengan menyertai perlumbaan kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia dan juga Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV). 

Menggunakan nama ONEXOX TKKR SAG Racing Team, pasukan tempatan itu diisi juara dua kali kelas perdana SuperSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli di peringkat CEV.

Pelumba sedang meningkat naik dari Australia, Remy Gardner dan Tetsuta Nagashima (Jepun) dijadual menggalas tugas dalam kelas Moto2 peringkat dunia. 

Pasukan yang bekerjasama dengan SAG Racing Team dan berpangkalan di Barcelona, Sepanyol ini menerima sokongan daripada syarikat telekomunikasi ONEXOX SDN BHD dan XOX selaku penaja utama. 

Lebih mengagumkan, pasukan turut membawa dua pegawai teknikal tempatan sebagai pentas buat mereka berkongsi kepakaran teknologi dan menimba pengalaman berharga antara satu sama lain. 

"Ia sangat baik bagi pasukan kerana mereka boleh berkongsi ilmu dan teknologi yang dipelajari dalam pasukan kepada mekanik-mekanik yang lain," kata Prinsipal Pasukan, Bobie Farid Shamsuddin. 

Bobie Farid juga menyambut baik kerjasama dengan pasukan SAG Racing Team dan ia secara tidak langsung membuka ruang buat mereka menimba ilmu untuk penyertaan di peringkat antarabangsa. 

"Kami turut mengalu-alukan tajaan daripada syarikat swasta bagi membantu memperkuatkan lagi pasukan," katanya.