KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan ONEXOX TKKR SAG, Bobie Farid Shamsudin mengaku terperanjat dengan kejayaan sulung Remy Gardner menaiki podium dalam saingan Moto2 di Grand Prix Argentina, awal pagi tadi.

Mungkin ramai sebelum ini tidak mengenali pelumba Australia itu, namun namanya mula 'meletup' di bibir peminat sukan permotoran tempatan selepas membantu pasukan persendirian negara meraih kedudukan kedua di Argentina.

Kejayaan berkenaan melonjakkan ONEXOX TKKR SAG dalam musim pertamanya untuk berada di kedudukan ketiga kategori pengeluar.

Gardner pula menghuni kedudukan kedua kategori pelumba di belakang peneraju, Lorenzo Baldassarri dengan perbezaan 17 mata selepas pelumba dari Itali itu meneruskan rentak kemenangannya.

"Kita baharu tahun pertama terbabit dalam Kejuaraan Motosikal Dunia dan memang agak terperanjat dengan kejayaan Remy menaiki podium pada aksi pusingan kedua," kata Bobie.

"Berdasarkan ujian tertutup awal musim, kita sudah meletakkan jangkaan bahawa Remy akan mencabar kejuaraan musim ini.

"Namun, kita tidak berani untuk bercakap mengenainya kerana takut dituduh sebagai 'angan-angan Mat Jenin," katanya.

Terdahulu, Gardner, 21, yang memasuki tahun keempatnya dalam kelas Moto2 meraih kedudukan keempat pada aksi pembukaan di Qatar, dua minggu lalu.

Jelasnya, faktor lebih selesa dengan jentera Kalex juga menjadi antara punca lain Gardner lebih menonjol dengan pasukan baharunya.

"Tahun lalu dia berlumba menggunakan jentera KTM bersama Red Bull Tech3 dan agak bergelut, jadi bila kembali pada Kalex pada musim ini dia lebih yakin," kata Bobie.

Rakan sepasukan Gardner dari Jepun, Tetsuta Nagashima sekadar menamatkan perlumbaan pagi tadi di kedudukan ke-12.