KUALA LUMPUR: XOX Mobile Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh XOX Bhd melancarkan kempen di seluruh negara yang akan menyaksikan syarikat itu mewujudkan 20,000 pekerjaan baharu menerusi Program Pengedar Sekutu Dalam Talian
XOX berkata, berikutan kelembapan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19, lebih 2.7 juta isi rumah dalam golongan B40 diunjurkan paling terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif XOX Mobile, Ng Kok Heng, berkata dalam ekonomi baik atau buruk, pihaknya, sebagai sebahagian perkhidmatan penting, masih boleh menyediakan dan mewujudkan pekerjaan melalui program pengedar sekutunya.
"Program ini adalah secara dalam talian. Ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh namun ini semuanya boleh dilakukan oleh pengedar kami untuk mencari pendapatan dalam tempoh sukar ini," katanya.
Selain itu, Kok Heng berkata semasa tempoh mencabar ini, berbelanja untuk Internet dan komunikasi yang dianggap penting di era moden ini sewajarnya tidak menjadi beban tambahan.
Beliau berkata, XOX Mobile turut menyedari peningkatan keperluan Internet dan komunikasi penggunanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa di seluruh negara.
Justeru, pihaknya telah mewujudkan pelan prabayar yang memberi pengguna tempoh sah selama 28 bulan, katanya.
"Bagi syarikat telekomunikasi lain, 365 hari bersamaan dengan perbelanjaan RM365 hanya untuk terus kekal terhubung, namun pengguna kami hanya perlu membelanjakan RM50 dan itu adalah penjimatan sehingga RM315 setahun.
"Sekiranya kita bercakap mengenai 1.5 juta pengguna pelan prabayar sahaja, kita telah mewujudkan penjimatan sehingga RM472.5 juta untuk rakyat Malaysia, dan ini hanya untuk setahun," katanya.
Kok Heng berkata, XOX Mobile tetap komited menawarkan produk dan peluang pendapatan yang paling inovatif untuk memberi manfaat kepada pengguna dan pengedarnya seiring dengan usaha syarikat menyediakan pengalaman mudah alih terbaik bagi negara ini.
-BERNAMA
0 Comments