KUALA LUMPUR: Pasukan ONEXOX TKKR SAG Team mencatat keputusan positif pada ujian Kejuaraan Cub Prix Malaysia/Track Day Test Programme di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin dengan kelas baharu CP125 jelas dikuasai mereka.
Penguasaan dalam kelas kedua tertinggi itu sekali gus memberi isyarat betapa pesaingnya harus melipat gandakan usaha sebelum saingan bagi musim 2020 yang terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 sebelum ini, disambung semula.
Pengumpulan data yang positif ini amat melegakan prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin yang berkata: "Kami amat berpuashati dengan penyediaan jentera untuk semua kategori (kelas) dan tahniah kepada mekanik dan kru TKKR serta pelumba kami.
"Bagaimanapun, TKKR tidak akan mengambil keputusan awal ini sebagai tanda aras bagi laluan pasukan pada waktu perlumbaan akan datang kerana sudah pasti pesaing akan berusaha keras untuk terus bersaing."
Lima daripada enam sesi yang berlangsung, pasukan ONEXOX TKKR SAG Team menawan hampir keseluruhan sesi dengan menyaksikan pelumbanya, Md Hafiza Rofa mencatat masa sepusingan keseluruhan terbaik, 1 minit 22.748 saat.
Md Shafiq Rasol daripada skuad kedua pasukan - ONEXOX SAG Team - berada di tangga kedua keseluruhan terbaik bagi kelas itu dengan catatan 1:23.383s manakala Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX TKKR SAG Team) berada di kedudukan ketiga, 1:24.148s.
Berada di tangga keempat keseluruhan terbaik adalah Md Syafieq Aiman Md Fauzi (ONEXOX SAG Team) yang mencatat 1:24.545s dengan Md Aiman Azman dari pasukan Hi REV SCK Honda Racing muncul pencabar dengan berada di kedudukan kelima, 1:24.101s.
Pasukan berkenaan hanya menurunkan sembilan daripada 10 jentera untuk semua kelas disertai iaitu CP150, CP125, WIRA KBS - susulan slot penyertaan dihadkan selaras prosedur operasi standard (SOP) dengan pelumbanya dalam kelas WIRA KBS, Aiman Hafiz tidak diturunkan pada sesi ujian itu.
Pasukan ONEXOX TKKR SAG Team turut meraih keputusan memberangsangkan dalam kelas perdana CP150 apabila dua daripada tiga pelumbanya menguasai kedudukan dua teratas carta keseluruhan.
Md Muzakkir Mohamed dari Selangor mencatat masa sepusingan terbaik keseluruhan 1:18.060s manakala Ramdan Rosli 0.392s dibelakang rakan sepasukannya itu untuk berada di tangga kedua. Melengkapkan kelompok tiga terbaik keseluruhan adalah pelumba Hi REV SCK Honda Racing, Helmi Azman, 1:18.560.
Nazirul Izzat Md Bahauddin yang juga rakan sepasukan Muzakkir dan Ramdan menamatkan sesi ujian keseluruhan bagi kelas berkenaan dengan berada di tangga ke-10 terbaik keseluruhan, 1:19.187s.
0 Comments